KUALA LUMPUR, 2025 – Sutradara prolifik Aziz M. Osman tampil semula dengan karya terbaharunya berjudul “6 JILAKE”, sebuah filem aksi komedi yang diinspirasikan daripada naskhah klasik “6 Jahanam” arahan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Filem ini dijangka menemui penonton di pawagam bermula 24 April 2025.
Diterbitkan oleh Eartistic Sdn Bhd, filem ini menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Amerul Affendi, Bell Ngasri, Saiful Apek, Kazar Saisi, Asmidar, Kamarool Yusof, Laura Olivia, Wan Gegau, Wan Raja, Mamak Puteh, Jalil Hamid, Remy Ishak, Ayda Jebat dan ramai lagi.
“6 JILAKE” – Koboi Nusantara Dengan Jiwa Rakyat
Menurut Aziz M. Osman, filem ini membawa pendekatan berbeza berbanding karyanya sebelum ini. Ia digarap dengan elemen aksi, komedi, sejarah, dan satire sosial, berlatarkan abad ke-18, ketika zaman penguasaan kolonial.
“6 Jilake adalah inspirasi daripada filem koboi lama, di mana sekumpulan penjahat mahu menguasai sebuah kampung. Penduduk pula mengupah pendekar untuk mempertahankannya,” ujar Aziz.
Sinopsis Ringkas
Mengisahkan tentang enam samseng upahan yang dikenali sebagai 6 JILAKE, mereka bekerja untuk syarikat Dutch East India bagi menjaga kawasan perlombongan bijih timah, termasuk Kampung Ketayap – sebuah kampung yang dipercayai menyimpan harta berharga. Namun, muncul seorang individu misteri bernama Sikuping yang bangkit menentang mereka dan mempertahankan kampungnya.
Menariknya, penggunaan perkataan ‘jilake’ yang merupakan slanga popular dalam kalangan anak muda, dijadikan simbolik kepada unsur rebel dan rakyat marhaen dalam naratif filem ini – alternatif kepada tajuk “6 Jahanam”.
Filem ini dijangka mencipta fenomena tersendiri apabila ditayangkan kelak, bukan sahaja kerana nama besar di sebalik pembikinannya, tetapi juga kerana kekuatan naratif, tema budaya, dan nilai nostalgia terhadap zaman kegemilangan filem Melayu klasik.
Artikel ini dipetik dan diolah dari: Brader Filem – Facebook