Banjir yang melanda daerah Beaufort dan Membakut semakin meruncing dengan lebih 1,000 mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pemindahan kekal (PPK) setakat malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah tertinggi dicatatkan di Beaufort dengan 780 mangsa daripada 249 keluarga telah dipindahkan:
🔹 PPK Selagon – 376 mangsa (106 keluarga)
🔹 PPS Dewan DSP Dun Banir – 404 mangsa (143 keluarga)
Sementara itu, di Membakut, 230 mangsa daripada 76 keluarga kini berlindung di PPS Dewan Kesenian Islam Membakut.
Mangsa Banjir Terus Meningkat!
Setakat 9 malam tadi, seramai 1,010 mangsa daripada 325 keluarga telah dipindahkan – meningkat drastik berbanding 522 mangsa daripada 154 keluarga pada jam 4 petang sebelumnya.
Situasi di kedua-dua daerah masih membimbangkan dengan 10 kampung di Beaufort dan Membakut terjejas teruk.
Air Sungai Padas & Sungai Membakut Melimpah!
Hujan lebat berterusan di kawasan pedalaman sejak semalam menyebabkan air Sungai Padas di Beaufort dan Sungai Membakut naik ke paras bahaya sehingga melimpahi tebing, mengakibatkan banjir besar di kawasan sekitar.
Ini merupakan kejadian banjir kedua yang melanda Beaufort dan Membakut tahun ini selepas banjir awal Februari lalu, namun jumlah mangsa kali ini dua kali ganda lebih ramai.
Penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan mereka.
Artikel ini dipetik dan diolah dari Sabah KupiKupi FM.