KOTA MARUDU – Daerah Kota Marudu kembali dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan dan kenaikan paras air sungai ke tahap bahaya sejak semalam. Akibatnya, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan pada jam 1.30 pagi tadi bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Pegawai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu, Meirin Sugara, dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan bahawa PPS Dewan Kampung Nolotan telah dibuka bagi menampung mangsa banjir di kawasan berkenaan.
Lebih 600 Mangsa Dipindahkan di Sabah
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melaporkan bahawa jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 608 orang daripada 162 keluarga di tiga daerah yang terjejas setakat jam 4 pagi tadi.
Antara daerah lain yang turut terkesan dengan banjir ialah:
- Beaufort – PPS dibuka di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon
- Keningau – PPS dibuka di Dewan Koningau Majlis Daerah Keningau dan Dewan Masyarakat Keningau
- Kinabatangan – PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dan SK Bukit Garam
Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai bagi menentukan langkah seterusnya dalam usaha mengurangkan risiko kepada penduduk yang terjejas.
Artikel ini dipetik dan diolah dari Sabah Media.