BANDAU, 4 Oktober 2025 — Suasana di Markas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) N6 Bandau bertukar meriah apabila Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima (DSP) Hajiji Haji Noor, membuat lawatan mengejut bagi meninjau persiapan jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Lawatan tersebut dimulakan dengan sesi taklimat oleh YBhg. Datuk Dr. Majol Mahap, selaku Pengerusi GRS N6 Bandau, yang mengalu-alukan kehadiran Ketua Menteri dan kepimpinan negeri ke kawasan berkenaan.
Dalam ucapannya, Hajiji menegaskan bahawa perpaduan dan kerja berpasukan merupakan kunci utama kemenangan PRN akan datang, serta menasihatkan semua jentera agar mengelak perpecahan dalaman yang boleh melemahkan perjuangan politik Sabah.
“Matlamat kita ialah untuk memenangi PRN17 dan meneruskan agenda Sabah Maju Jaya. Setiap ahli mesti memainkan peranan dengan berdisiplin dan bersatu,” tegas beliau.
Ketua Menteri turut memuji kepimpinan Datuk Dr. Majol Mahap atas kesiapsiagaan dan kekemasan struktur gerak kerja jentera GRS Bandau yang disifatkannya mantap dan tersusun, hasil kerjasama erat antara ahli parti dan masyarakat setempat.
Sumber: Lawatan Mengejut YAB Ketua Menteri ke Markas GRS N6 Bandau










