Pekan Tuaran menjadi saksi kepada detik bermakna apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim hadir menyantuni rakyat Sabah dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri, baru-baru ini.
Kehadiran Perdana Menteri bukan sekadar acara protokol semata-mata, malah beliau turut turun padang meninjau Jualan Rahmah yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) serta menghadiri Taklimat Pembangunan Negeri Sabah. Ini jelas menunjukkan kesungguhan beliau dalam memahami sendiri denyut nadi rakyat Sabah yang sering merindukan kehadiran pemimpin tertinggi negara di bumi mereka.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang pengiktirafan dunia terhadap Malaysia yang semakin mengukuh, pertumbuhan ekonomi yang kian memberangsangkan serta jaminan kerajaan untuk terus mendokong pembangunan di Sabah. Tidak ketinggalan, beliau turut memuji rakyat Sabah yang sentiasa mempertahankan keharmonian dan perpaduan walaupun berbeza latar belakang – sesuatu yang wajar dijadikan teladan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Bagi rakyat Sabah, kehadiran ini bukan sekadar lawatan biasa. Ia membawa makna besar — bahawa suara mereka tidak dipinggirkan dan masa depan mereka sentiasa berada dalam radar kerajaan Persekutuan. Ia satu mesej yang kuat, bahawa Sabah tidak pernah jauh dari hati kepimpinan negara.
Artikel ini dipetik dan diolah daripada kenyataan rasmi Hajiji Haji Noor yang dikongsikan di Facebook.