KOTA MARUDU, 22 Mac 2025 – Calon Ketua Cabang Parti KEADILAN Rakyat Kota Marudu, Zaidi Jatil, tampil dengan gagasan tersendiri melalui pelancaran Manifesto #PenyatuanKeadilan bagi pemilihan cabang sesi 2025–2028 yang berlangsung di Marudu Inn Hotel, Bandau.
Apa yang menarik perhatian adalah penjenamaan manifesto beliau sebagai #157, yang membawa maksud:
- 1 Visi
- 5 Misi
- 7 Gagasan
Menurut Zaidi, pelan ini bukan sekadar angka, tetapi rangka hala tuju strategik untuk memastikan parti KEADILAN Cabang Kota Marudu terus diperkukuh dari segi perpaduan dalaman, pengukuhan akar umbi serta penglibatan aktif rakyat dalam pembangunan masyarakat yang adil dan saksama.
“Ini adalah sebagai panduan untuk #PenyatuanKeadilan dalam mengurus parti sepanjang tiga tahun akan datang, jika diberikan peluang oleh anggota parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Zaidi turut menyeru agar seluruh anggota parti memberikan sokongan kepada beliau dan pasukan kepimpinan yang diketengahkan, demi memastikan agenda reformasi dan prinsip #MalaysiaMadani terus dilaksanakan dengan berkesan di peringkat cabang.
Dengan semangat #BekerjaUntukRakyat, beliau percaya bahawa penyatuan kekuatan ahli dan kejelasan visi kepimpinan adalah kunci utama untuk melonjakkan KEADILAN Kota Marudu ke tahap yang lebih progresif dan berdaya tahan.
Artikel ini dipetik dan diolah dari: Facebook Zaidi Jatil